Monday, December 20, 2010

Pluralisme Agama : Ulama Seru Anwar Kembali Ke Pangkal Jalan


Para ulama Malaysia menyeru Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke pangkal jalan dan memberhentikan seruannya untuk membawa ajaran pluralisme agama di Malaysia.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, orang Islam yang berfahaman pluralisme agama iaitu mendakwa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar adalah kafir dan murtad.
‘Pluralisme adalah haram. Kita mana boleh kata semua agama sama dengan Islam. Kalau orang Islam kata semua agama adalah sama dengan Islam, mereka yang berkata begitu adalah kafir.
”Dalam kitab dan hukum syarak telah menyebut mereka yang mengamalkan fahaman pluralisme dianggap sebagai kafir dan murtad,”, katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Pada 14 Disember lalu, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady dalam kertas kerjanya menjawab pemikiran pluralisme Anwar di Wacana Membanteras “Gerakan Pluralisme Agama dan Permutadan Ummah” di Masjid Wilayah Kuala Lumpur berkata ajaran pluralisme bertentangan dengan Islam kerana berasal dari pemikiran falsafah John Hick.
“Sayu tidak terkira hati kita mengingatkan bahawa asalnya tokoh dakwah Islam yang berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah, penerajunya, gerakan Islam (dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hicks dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhir”, kritik Uthman El-Muhammady yang menggambarkan perubahan pola pemikiran Islam Anwar dari fundamentalis kepada pluralisme
“Orang yang berkepercayaan seperti John Hicks dan yang sepertinya ini mungkin akan menjadi ‘lukewarm’ (semakin pudar) dalam keyakinannya, tidak lagi ia ‘minal-muqinin’ (dari orang-orang yang berkeyakinan) dari kalangan orang-orang yang yakin; mungkin akhirnya ia menjadi agnostic (ragu-ragu tentang kewujudan Tuhan), dijauhkan Allah, walaupun tidak disuarakannya. Pegangan seperti ini membawa kita terlintas persamaannya dengan golongan zindik (meyakini kekufuran atau atheis) zaman klasik ” kritiknya lagi
Felo Amat Utama, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) itu menjawab ucapan Anwar di LSE, London yang bertajuk“Religion and Pluralism in a Divided World” pada 18 Mac lalu.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata Ahli politik yang menjadikan fahaman pluralisme agama sebagai senjata untuk menarik sokongan bukan Islam telah melakukan satu kesalahan yang amat besar kerana ia boleh merosakkan akidah.
Malah tindakan mereka itu jika dibiarkan boleh menyebabkan kedudukan Islam di negara ini terjejas kerana akidah yang selama ini menjadi tunjang serta asas kepada agama telah dimusnahkan.
“Saya bercakap bukan atas dasar sentimen tetapi atas dasar seorang Islam yang terlalu sayangkan agamanya. Saya tidak mahu Islam di Malaysia rosak akibat wujudnya pemimpin-pemimpin yang seperti ini.
“Tidak salah untuk menarik pengundi bukan Islam untuk menyokong mana-mana parti tetapi bukan ini caranya. Cara ini amat bahaya kerana ia amat berkaitan dengan persoalan akidah. Fahaman pluralisme agama boleh merosakkan akidah,” kata Nakhie yang juga bekas Yang Dipertua YADIM.
Timbalan Dekan Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula menyeru Anwar kembali ke pangkal jalan dengan mengamalkan Islam seperti mana yang dibawa oleh Rasulullah.
”Anwar perlu kembali mengamalkan Islam seperti mana yang diamalkan penganut-penganut Islam lain tanpa perlu mengambil mana-mana fahaman lain kerana inilah ajaran Islam sebenar,” katanya.
‘Saya yakin umat Islam kita mampu berfikir secara rasional terutama jika melibatkan soal akidah dan pegangan agama,” katanya lagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...