Saturday, December 18, 2010

KEKECOHAN DI PARLIMEN MEMALUKAN DAN DETIK HITAM SEJARAH

Tindakan pembangkang yang menimbulkan kekecohan di Parlimen merupakan satu perkara yang memalukan dan menjadi detik hitam dalam sejarah Parlimen Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan itu mungkin sudah dirancang oleh pembangkang disebabkan tidak dapat mempertahankan pendirian mereka dan ini jelas menunjukkan mereka tidak menghormati protokol serta konvensional Parlimen yang seharusnya menjadi puncak sistem demokrasi negara.


"Perkara itu memalukan... dengan biadap dan mengeluarkan kenyataan kasar kepada Speaker dan ada kenyataan mereka nak heret ke Speaker ke mahkamah. Bagi saya ia satu tindakan yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga tidak
berparlimen," katanya.



Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Gempur Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 1Azam (Akhiri Zaman Kemiskinan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Daerah Muar, di sini hari ini.



Timbalan Perdana Menteri mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat apabila anggota Parlimen pembangkang cuba melakukan protes bagi membantah usul penggantungan empat anggota Parlimen mereka.
Khamis lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi Anggota Parlimen pembangkang daripada persidangan dewan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd.



Tiga Anggota Parlimen pembangkang itu yang digantung kerana menghina dewan ialah Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak).



Muhyiddin berkata beliau yakin pembangkang akan menggunakan keputusan menggantung Anggota Parlimen itu sebagai bahan kempen mereka dan Anwar juga akan menggunakan tempoh penggantungan enam bulan berkenaan untuk menjelajah negara bagi memutarbelit tindakan terhadapnya.



"Kita tahu parti komponen Pakatan Rakyat berhadapan kemelut politik yang carca marba dan dalam keadaan parti mereka bersimpang siur dan tunggang langgang daripada segi hubungan antara parti komponen. Rakyat sudah tahu tipu helah mereka dan mereka hendak mencari bahan sebagai kempen," katanya.



Beliau berkata pembangkang akan menggunakan isu penggantungan itu sebagai bahan untuk menjelajah ke seluruh negara, kononnya demokrasi di negara ini sudah mati.



"Mereka kata kita sengaja buat begitu sebab mahu menguasai dua pertiga di Parlimen adalah langsung tidak betul. Jangan hendak putar belit seolah-olah rakyat tidak tahu kerana fakta bahawa empat orang digantung enam bulan itu tidak bermakna kerusi kita di Parlimen akan bertambah, sebaliknya kekal dengan 137 kerusi," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...