Monday, December 20, 2010

Pemimpin PKR bertengkar dalam Twitter

Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan semalam meluahkan perasaan tidak berpuas hati menerusi laman sosial mikro, Twitter berhubung pelantikan beberapa individu bagi menganggotai Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Gobalakrishnan menghantar mesej pertama beliau sejurus selepas Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan senarai barisan kepimpinan MPP yang dilantik.

Antaranya termasuk seorang peguam kurang dikenali, N. Surendran yang dilantik sebagai naib presiden parti itu dipercayai atas kuota kaum India parti berkenaan.

Gobalakrishnan yang tewas dalam pemilihan jawatan naib presiden dikatakan menaruh harapan dilantik ke jawatan itu.
''Adakah DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) buat keputusan yang betul untuk orang India di Malaysia?'' katanya dalam laman sosial mikro itu.

Mesej beliau dijawab oleh Exco Kerajaan PKR Selangor, Elizabeth Wong:
''MPP buat keputusan yang betul untuk rakyat Malaysia."

Gobalakrishnan menjawab: ''(Keputusan) ini bukan untuk MPP atau awak tapi untuk Anwar. Saya tidak tipu atau guna orang lain untuk tipu dengan kertas undi."

Bagaimanapun setelah lama menunggu tanpa sebarang jawapan daripada Elizabeth, Gobalakrisnan terus menghantar mesej:''Saya sedang menunggu awak jawab seperti saya pertahankan awak ketika gambar bogel awak diedarkan.''
Berikutan tiada juga jawapan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan itu, Gobalakrishnan sekali lagi menghantar mesej:

''Elizabeth pergi tengok diri sendiri di cermin sebelum kau kata pada orang yang Gobala akan sertai (parti KITA ) Zaid."
Gobalakrishnan adalah penyokong Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim semasa beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sebelum ini.

Perasaan tidak puas hati Gobalakrisnan bagai tidak boleh dibendung lagi apabila dia menghantar mesej pula kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk bertanya:

''Surendran ini ahli di cabang mana?''
Jawab Nurul Izzah: ''Surendran ahli cabang Lembah Pantai."

Tidak lama selepas itu, Gobalakrishnan 'menyerang' Anwar dengan mesejnya kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

''Keangkuhan kuasa menafikan pembangunan sesuatu masyarakat melalui kebencian antara pimpinan.

''26 keluarga di Ladang Tuan Mee, Ijok masih kongsi air minuman dengan itik.

''Saya tak suka dengan pemimpin yang suka berpura-pura,'' kata Gobalakrishnan.

Ladang Tuan Mee adalah kawasan estet di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok yang diwakili Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perang Twitter yang boleh dibaca ribuan ahli laman sosial mikro itu turut meresahkan beberapa pemimpin Pas termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat parti itu, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa kemudiannya menghantar mesej bagi menegur kedua-dua pemimpin PKR terbabit supaya tidak bergaduh di alam siber.

''Cakap terus dengan DS (Anwar) apa pun masalah dalaman, kenapa tweet kepada umum. Direct message/sms,'' katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...