Saturday, December 18, 2010

CALON KALAH DAN TARIK DIRI DALAM PEMILIHAN PKR DILANTIK DALAM MPP

Beberapa calon yang kalah dan menarik diri pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat(PKR) telah dilantik ke dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu. 


Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara calon yang dilantik ialah bekas Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai ahli biro politik manakala bekas menteri kabinet, Datuk Chui Jui Meng dilantik sebagai Naib Presiden.



"Kita ada satu biro baru iaitu biro guaman (yang akan
diketuai) oleh Lateefah Koya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPP di sini, hari ini.



Turut hadir ialah tiga Naib Presiden parti iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
Azizah berkata, Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yang memenangi jawatan Timbalan Presiden parti berkenaan turut menyandang jawatan Pengarah Pilihanraya Pusat. 



Azizah turut menolak desas desus yang mengatakan bekas Timbalan Ketua Angkatan Pemuda Keadilan(AMK), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard menolak menyertai MPP disebabkan kecewa dengan keputusan pemilihan parti itu yang tidak memihak kepada Badrul. 
"Jadi, tidak timbul bahawa chegubard tidak menerima tawaran ini.. bila saya umumkan ia adalah penerimaan dan persetujuan chegubard sendiri," katanya.



Mengulas mengenai gabungan muka baru dan lama dalam parti berkenaan, Azizah berkata, perkara berkenaan adalah satu strategi parti dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Sementara itu, Mansor menjelaskan perlantikan MPP di peringkat negeri tidak dapat dijalankan pada masa kini disebabkan rundingan diantara ketua-ketua cabang yang merupakan pindaan baru parti berkenaan masih berjalan. 
"Perlantikan negeri kali ini...kita dalam pindaan perlembagaan kita wajibkan satu proses konsultasi dengan ketua-ketua cabang dari semua negeri.



"So proses ini ambil masa sedikit... ada beberapa negeri yang belum kita dapat konsultasi penuh kita mungkin ambil satu minggu lagi untuk menyelesaikan semua rundingan dan juga konsultasi," katanya.

Beliau menjelaskan senarai berkenaan masih belum lengkap kerana parti berkenaan akan mengumumkan beberapa biro tambahan dalam masa terdekat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...