Monday, December 20, 2010

10 ahli PKR bantah Anwar, Azmin

Hasrat sepuluh orang yang mendakwa ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bayan Baru untuk menyuarakan rasa hati mengenai nasib kaum India dalam parti itu yang tidak diberikan pembelaan oleh para pemimpinnya nyaris bertukar menjadi insiden buruk.

Bantahan bermula kira-kira pukul 4 petang ketika mereka membawa kain rentang bertulis 'Anwar Sayang Azmin, Undur' dan berkumpul di pintu masuk Dewan Millenium di sini yang mana sedang berlangsungnya Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua.

Ternyata kehadiran kumpulan berkenaan tidak disenangi oleh para perwakilan dan ahli pakatan pembangkang yang berada di situ lalu menghalau mereka.

Pertikaman lidah berlaku antara kedua-dua belah pihak, disusuli tolak-menolak sehingga nyaris berlaku pergaduhan.
Bagaimanapun, beberapa lelaki dipercayai anggota polis berpakaian preman berjaya meleraikan dua kumpulan tersebut dan mengawal keadaan.

Kumpulan yang membantah itu beredar kira-kira 20 minit kemudian.R. Raju, 50-an yang mengetuai kumpulan berkenaan memberitahu, nasib kaum India dalam PKR seolah-olah tidak diberikan pembelaan oleh para pemimpin tertinggi parti itu.

"Kami mahu orang India dalam PKR diberi peluang lebih besar dalam parti," tegasnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...