Monday, December 20, 2010

DAP mengaku pembangkang gagal tunai janji di Perak

DAP mengakui pakatan pembangkang di Perak gagal melaksanakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat sepanjang sembilan bulan mentadbir negeri itu dan ia dilihat berterusan sehingga hari ini.

Ahli Jawatankuasa DAP Perak, V. Jayabalan berkata, antara kegagalan pakatan itu adalah untuk mengukuhkan perpaduan antara komponen dan parti masing-masing di Perak.

Menurutnya, ia jelas dapat dilihat ketika pemilihan barisan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang tidak mempunyai komposisi perkauman yang stabil walaupun ia dijalankan secara demokrasi.

"Selepas menerima mandat daripada rakyat, kita (pakatan pembangkang) tidak mengambil langkah melantik pegawai kerajaan negeri yang menyokong kita.

"Ini merupakan faktor utama ketidakseimbangan dalam hal kerajaan negeri," katanya dalam perbahasan pada Konvensyen Pakatan Pembangkang Kedua di sini hari ini.

Jayabalan memberitahu, janji untuk mencapai sasaran setinggan sifar juga tidak terlaksana terutama membabitkan setinggan terdiri dari kaum India.

Tambahnya, mereka turut gagal menunaikan janji menyediakan peluang pekerjaan bagi kaum India seperti dijanjikan ketika kempen pilihan raya umum lalu.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa sokongan padu yang diterima pada pilihan raya umum lalu yang membawa kemenangan kepada pakatan pembangkang bukan disebabkan kebolehan kita sebaliknya kerana kebencian rakyat kepada Barisan Nasional (BN)," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...