Monday, January 10, 2011

JANGAN SAMPAI SENJATA MAKAN TUAN.....

Datuk Mohd Khusrin Munawi selesai angkat sumpah taat setia di depan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Cuma tinggal majlis ikrar simpan rahsia depan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sahaja bagi melengkap proses jawatan dan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) baru yang sudah jadi kontorversi sejak 27 Disember lalu.
Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) melalui mesyuarat Exco pada Rabu memutuskan, majlis itu tidak akan diadakan kecuali selepas sidang tergempar Dewan Undangan Negeri bagi meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang dirancang akhir bulan ini.
Persoalan yang ramai inginkan jawapan adakah sidang yang kononnya atas nama mengembalikan kuasa Sultan Selangor itu mendapat perkenan baginda dan bolehkah dipinda tanpa majoriti dua pertiga?
Kerajaan PR Selangor sudah merancang pembentangan pindaan itu melalui Penasihat Undang-undang Negeri Datin Paduka Zauyah Be T. Loth Khan, peguam Datuk Param Cumaraswamy dan pensyarah undang-undang Prof. Datuk Abdul Aziz Bari.
Cadangan pindaan juga akan dipersembah kepada Sultan Selangor kemudiannya.
Soal perkenan tuanku Sultan, itu hak baginda dan tidak perlu diulas.
Mengenai majoriti dua pertiga ini, ramai yang tunggu dan lihat.
Malah, ditanya mengenai kemungkinan kerajaan negeri gagal mendapat majoriti dua pertiga bagi meluluskan pindaan itu, Khalid sendiri berkata: "Kita tunggu dan lihat."
DUN Selangor ada 56 kerusi dengan 14 daripadanya milik Parti Keadilan Rakyat, 13 diwakili DAP, lapan wakil PAS, seorang wakil Bebas dan 20 diwakili Barisan Nasional.
Ini bermakna kerajaan PR Selangor ada 35 kerusi, kurang dua bagi kuasa majoriti dua pertiga.
Itu belum ambil kira Speaker Dewan, Datuk Teng Chang Khim, yang tidak boleh mengundi.
Bagaimanapun, ada satu perkara lain yang boleh “kita tunggu dan lihat” akan berlaku pada persidangan DUN kelak.
Apa kata tiba-tiba ada usul undi tidak percaya kepada Khalid – sebagai Menteri Besar?
Ini boleh berlaku jika wakil rakyat BN tahu menggunakan ruang dan peraturan DUN.

Silap haribulan boleh jadi kes senjata makan tuan.
Dengan mengemukakan usul tergempar, Speaker boleh menolak dan sebaliknya.
Namun ambil kira pandangan bahawa Chang Khim disenangi Sultan Selangor hingga memperkenan anugerah gelaran Datuk, wakil rakyat DAP itu boleh buat keputusan mengejut untuk menerima usul itu.
Mungkin ramai sudah tahu, Chang Khim bukan disenangi pemimpin DAP Selangor yang lain termasuk Pengerusi barunya, Teressa Kok dan juga Exco Ronnie Liu.
Selama ini, beliau juga dilihat bukan mesra dengan Dinasti Lim (Kit Sing dan Guan Eng) malah dalam pemilihan pimpinan baru DAP bulan lalu, Chang Khim hanya dalam senarai ahli jawatankuasa.
Cuma bagi menjayakan undi tidak percaya ini memerlukan sokongan wakil rakyat PAS.
Jika kesemua lapan wakil rakyat PAS menyokong usul ini, begitu juga ADUN Bebas Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah dicampur 20 undi wakil rakyat BN – Khalid boleh ‘bungkus’.
Adakah mungkin PAS akan berpaling tadah menyokong usul ini?
Jika ini berlaku, PAS yang untung kerana salah seorang daripada mereka terutama Datuk Dr Hasan Ali boleh dicadang dan disokong sebagai Menteri Besar baru.
Baru-baru ini pun, Dr Hasan sudah membawa barisan pimpinan PAS Selangor mengadap Sultan Sharafuddin – bermakna parti itu tiada masalah dengan istana.
Wakil rakyat BN boleh memberi laluan kepada Dr Hasan bagi menubuhkan kerajaan perpaduan kerana dengan sokongan PAS dan Bebas, bermakna 29 undi menyokong usul undi tidak percaya kepada Khalid.
PAS Selangor pun rasanya sudah lama ‘panas’ dalam PR ekoran macam-macam isu membabitkan PKR dan DAP tetapi PAS turut terpalit lumpur.
Dr Hasan pasti pilihan tepat menggantikan Khalid kerana mustahil Menteri Besar baru dari kalangan pemimpin PKR yang sudah melakukan macam-macam onar dan dianggap sesetengah pihak ‘derhaka’ kepada Sultan.
Timbalan Presiden PKR yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali boleh ‘gigit jari’.
Mustahil juga dilantik daripada DAP kerana syarat Menteri Besar mestilah Melayu dan beragama Islam.
Andai ini boleh terjadi, Chang Khim juga boleh jadi wakil rakyat Bebas dan kekal sebagai Speaker.
Tidak guna beliau terus kekal dalam DAP yang tidak menjanjikan apa-apa kedudukan lebih tinggi dalam parti malah mungkin tidak tersenarai sebagai calon dalam pilihanraya umum akan datang.
Adakah ini boleh terjadi? Beranikah Khalid teruskan niat adakan sidang tergempar jika usul tidak percaya terhadapnya akan dibentangkan?
Mungkin ada anggap ini mustahil tapi kata orang, dalam politik tiada yang mustahil.- Apapun, “ Kita tunggu dan lihat.”


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...